
Xiaomi SU7 merekodkan kemalangan maut yang pertama sejak pelancaran kereta sport elektrik tersebut Mac tahun lalu.
Insiden yang berlaku di Lebuhraya Dezhou-Shangrao di Wilayah Anhui, China pada 29 Mac lalu, kira-kira jam 10.44 malam itu mengakibatkan tiga wanita yang merupakan pelajar universiti maut akibat terperangkap dalam kenderaan.
Laporan awal media sosial China mendakwa kereta elektrik (EV) itu terbakar selepas merempuh pembahagi jalan dan menyebabkan pintu tidak boleh dibuka atau tersekat.
Sebagai tindak balas kepada kebimbangan orang ramai yang semakin meningkat, Xiaomi mengeluarkan kenyataan pada 1 April lalu dengan menyediakan garis masa kemalangan secara terperinci berdasarkan data kenderaan yang diserahkan kepada polis.
Menurut Xiaomi, model standard SU7 itu dipandu pada kelajuan 116kmj menggunakan Navigation on Autopilot (NOA) ketika menghampiri zon kerja baik pulih.
Lorong itu ditutup dengan penghadang dan laluan dilencongkan ke arah bertentangan. Namun, sistem mengesan adanya halangan lalu mengeluarkan amaran dan mula memecut.
Susulan itu, pemandu mengambilalih kawalan secara manual lalu menekan brek tetapi SU7 berkenaan melanggar tiang penghadang konkrit pada kelajuan 97kmj.
Impak berkenaan telah mengaktifkan sistem tindak balas kecemasan Xiaomi secara automatik. Pihak Xiaomi segera menghubungi pemilik berdaftar yang mengesahkan kenderaan tersebut dipandu individu lain.
Susulan itu, Xiaomi menghubungi penumpang kenderaan yang mana perkhidmatan kecemasan telah dihantar dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 11 malam.
Berkaitan dakwaan pintu yang gagal berfungsi, Xiaomi menjelaskan keempat-empat pintu SU7 boleh dibuka secara manual sekiranya kemalangan terjadi dan kenderaan kehilangan kuasa.
Bahagian hendal pelepasan mekanikal kecemasan diletakkan pada ruangan simpanan sisi pintu yang mana pemilik perlu menarik hendal berkenaan untuk membuka pintu.
Hendal berkenaan berfungsi secara mekanikal dan boleh membuka pintu walaupun bateri rosak atau pemegang pintu elektronik tidak berfungsi.