
Laman Kosmo melaporkan seorang anggota tentera, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35 didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menumbuk seorang pemandu wanita minggu lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistred Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menumbuk di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun yang memandu Perodua Axia kira-kira pukul 10.20 malam di Taman Satria, Senawang di sini pada 29 Mac lalu.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, namun peguam mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung dua anak masih kecil, isteri serta ibu bapa
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen serta laporan perubatan pada 19 Mei depan.
Berdasarkan video yang tular, seorang pemandu wanita ditumbuk oleh seorang lelaki dekat Taipan Senawang.
Lelaki tersebut bertindak menumbuk pemandu wanita kerana mendakwa anaknya dilanggar ketika sedang melintas jalan.
Akibat kekerasan tersebut, pemandu wanita itu mendapat kecederaan lebam di rusuk kanan, serta bengkak di bahagian belakang kepala.