
BMW Motorrad memperkenalkan model berorientasikan off-road R12 GS, membawakan imej serba klasik dan tahan lasak.
BMW R12 GS ini merupakan tribut kepada R 80 G/S yang ditunggang oleh Hubert Auriol ketika perlumbaan rali Paris-Dakar pada tahun 1981.
R12 GS ini mengekalkan enjin boxer 1,170 cc menghasilkan 109 hp pada 7,000 rpm dan daya kilas 115 Nm pada putaran enjin 6,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan, serta dibantu dengan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Enduro.
BMW R12 GS ini dilengkapi dengan unit lengan ayun Paralever baharu, fork teleskopik terbalik boleh laras sepenuhnya dengan jarak pergerakan roda 21 cm, serta penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan roda 20 cm.
Casis asal R12 telah direka semula dengan mengurangkan poin sambungan bolt seperti yang terdapat pada model asal R nineT, memberikan rupa paras yang lebih retro.
Antara ciri lain termasuklah rim 21 inci depan dan 17 inci belakang, tinggi pelana 861 mm, jarak lega bumi 240 mm dan boleh dilengkapi dengan Enduro Package Pro yang dapat meninggikan jentera sebanyak 25 cm berbanding model standard.
Bantuan elektronik pula adalah seperti Dynamic Traction Control (DTC) yang boleh dimatikan untuk kegunaan off-road, Shift Assistant Pro untuk penukaran gear tanpa klac, serta Hill Start Assist Pro.
Segala info boleh diakses menerusi skrin berbentuk bulat yang boleh dinaik taraf kepada skrin TFT sebesar 3.5 inci, di mana anda boleh menghubungkannya dengan peranti menerusi Bluetooth.
Dengan harga jualan bermula dari US$16,395 (RM73,245), BMW R12 GS ini bakal memberikan saingan kepada Triumph Scrambler 1200.