
Pemandu lori yang diterkam harimau kumbang ketika berhenti di Bukit Tangga, Seremban Khamis lalu menerima lebih 30 jahitan di kepala.
A Suresh, 54, yang tinggal di Klang, Selangor dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Jaafar selepas tiga hari menerima rawatan.
Menurutnya, dia bersyukur kerana hanya mengalami cedera akibat cengkaman kuku haiwan tersebut, namun mengakui masih trauma.
“Sampai sekarang saya tak dapat tidur nyenyak kerana terbayang-bayang harimau itu menerkam saya.
“Saya pun tak tahu dari mana ia datang, tapi memang mengejutkan dan menakutkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bapa kepada dua anak itu berkata dia berhenti di lokasi tersebut bagi memeriksa keadaan lori dan membuang air kecil.
“Tengah saya nak cuci tangan, harimau itu lompat ke atas saya dan cuba menggigit kepala saya, tapi saya sempat masukkan botol air ke dalam mulutnya.
“Kalau tak, sudah tentu saya dah mati dan luka di kepala saya pun disebabkan cengkaman kukunya saja,” katanya.
Tambahnya, dia bernasib baik kerana ada kenderaan lain yang berhenti dan membantunya menghubungi ambulans.
Suresh menasihatkan pemandu lori dan pengguna jalan raya supaya berwaspada ketika melalui jalan tersebut dan berhenti di kawasan yang selamat.
“Sepanjang enam tahun saya berulang alik ke Jelebu, tak pernah pula saya nampak harimau kumbang di situ.
“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) ada datang melawat saya di hospital dan mereka beirtahu harimau yang menyerang saya dianggarkan seberat 80 ke 90kg,” katanya yang sudah 25 tahun bekerja sebagai pemandu lori.