Kanak-kanak lelaki tiga tahun cedera tercampak keluar dari kereta

20

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di bahagian muka selepas dipercayai tercampak keluar dari Proton Iswara Aeroback di KM5, Jalan Lipis-Merapoh, pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berada di kerusi penumpang belakang dalam perjalanan dari Kampung Tempoyang ke rumahnya di Kampung Berembang.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu bapa kanak-kanak itu dari sebuah kedai perkakasan di Tempoyang menghala ke simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U.

“Kanak-kanak itu terjatuh dari kenderaan melalui tingkap belakang di sebelah kiri yang terbuka, ketika pemandu yang berumur 36 tahun itu memberhentikan kenderaan untuk menjawab panggilan telefon.

“Bagaimanapun, bapanya meneruskan perjalanan sehingga di KM7 Jalan Lipis-Merapoh dan menyedari anaknya tiada dalam kenderaan,” katanya.

Selepas gagal menemui anaknya, pemuda itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis dan orang awam yang menemui kanak-kanak itu menghantarnya ke Balai Polis Padang Tengku.

“Setibanya di Balai Polis Kuala Lipis, bapa kanak-kanak itu dimaklumkan anaknya berada di Klinik Kesihatan Padang Tengku.

“Siasatan awal mendapati dipercayai kanak-kanak tersebut terjatuh dari kenderaan melalui tingkap pintu belakang kiri yang terbuka ketika bapanya memberhentikan kereta untuk mengangkat panggilan telefon,” tambahnya.

Kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan(KK).

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here