
Spanco Sdn Bhd (Spanco) menyerahkan sebanyak 55 buah Yamaha Ego Avantiz kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata motosikal tersebut turut dilengkapi dengan plat kenderaan khas Madani, insurans pada tahun pertama serta dua helmet.
Menurutnya, syarikat pembekal dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan tersebut menaja pembelian motosikal berkenaan dengan memperuntukkan jumlah keseluruhan hampir RM300,000.
“Saya berbesar hati Spanco bersetuju untuk menaja kos pembelian motosikal ini yang mana setiap satu unit dibeli pada harga khas iaitu RM5,000 walaupun harga jualan di pasaran mencecah hampir RM5,800.
“Saya telah berhubung dengan Yamaha dan mereka bersetuju untuk mengurangkan harga jualan dan kita dapat beli pada harga khas ini.
“Sudah tentu ia amat membantu mangsa yang terjejas kerana motosikal ini bukan sahaja sebagai pengangkutan tetapi juga untuk tujuan mencari nafkah dan dapat membantu mengembalikan kehidupan mereka seperti biasa,” katanya.
Tambah beliau, semua penerima kenderaan telah disaring dan disahkan benar sebagai mangsa insiden sebelum menerima motosikal.
“Majoriti mangsa dari Kampung Kuala Sungai Baru kerana di Taman Harmoni kebanyakan kereta yang rosak. Kita tidak dapat cari motosikal untuk disewakan seperti kereta, jadi kita dapatkan penaja dan terus beli kemudian beri sumbangan kepada mangsa secara ‘one off’.
“Kita tiada pemilihan tetapi selagi mereka dapat buktikan kerosakan motosikal dan ada laporan polis, kita beri dan menjadi milik penuh mereka.
“Kita juga mendapat kerjasama daripada ketua kampung untuk melakukan pengesahan,” jelasnya.