
Kabinet Thailand meluluskan pembinaan jambatan kembar merentasi Sungai Golok yang akan menghubungkan Daerah Sungai Kolok di wilayah Narathiwat dengan Rantau Panjang di Kelantan, Malaysia.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Anukul Prueksanusak memaklumkan Jabatan Lebuhraya Thailand diberi kuasa untuk melaksanakan projek itu yang dianggarkan bernilai THB 292.65 juta dan dijangka mengambil tempoh 36 bulan untuk disiapkan.
“Peruntukan ini merangkumi pembinaan jambatan selari, kerja-kerja baik pulih jambatan sedia ada, serta jaringan jalan raya di sebelah Thailand.
“Kontrak antarabangsa FIDIC akan digunakan manakala pihak Malaysia akan menguruskan perolehan dalam mata wang ringgit Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian antara Thailand dan Malaysia menetapkan perkongsian kos bagi pembinaan jambatan, manakala setiap negara akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan infrastruktur di wilayah masing-masing.
Anukul turut memaklumkan jambatan baharu itu akan digunakan bagi laluan trafik masuk ke Thailand manakala jambatan sedia ada akan digunakan untuk laluan keluar.
“Pembinaan ini dijangka memperkukuh kesalinghubungan dalam segitiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), merangsang perdagangan rentas sempadan serta sektor pelancongan, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu masuk sedia ada dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan,” katanya.