
Bermaz Motor, pengedar eksklusif kenderaan Mazda di Malaysia rasmi memperkenalkan Mazda MX-5 (2025) ke pasaran tempatan.
Mazda MX-5 RF kini dibuka untuk tempahan menerusi pilihan :
- Mazda MX-5 Edisi Ulang Tahun Ke-35 : RM315,000
- Mazda MX-5 2.0 A/T : RM295,000
- Mazda MX-5 2.0 M/T : RM293,000
MX-5 Edisi Ulang Tahun ke-35 tampil berbeza dengan warna badan khas Artisan Red Premium bersama lencana ’35th Anniversary Edition’ pada fender belakang yang menandakan status pengeluaran terhad.
Pasaran tempatan hanya menerima MX-5 Edisi Ulang Tahun ke-35. Selain itu, perumah cermin sisi turut menggunakan cat yang sama dengan warna badan dan Mazda memilih rim aloi Bright Metallic 17-inci bagi menyerlahkan aura sporty.
Kabin MX-5 menerima kemasan Sports Tan pada bahagian papan pemuka, karpet dan pelapik lantai dengan lencana ‘35th Anniversary Edition’.
Perehat kepala kerusi kemasan kulit Tan menempatkan sulaman timbul ’35th Anniversary’. Tambahan eksklusif lain termasuklah sentuhan warna Artisan Red Premium pada corong pendingin hawa dan sisi pintu.
NAIK TARAF MX-5 (2025)
Mazda turut menaiktaraf rangkaian MX-5 (2025) melibatkan :
- Kemas kini reka bentuk lampu depan dengan fungsi pencahayaan lampu rendah bentuk bulat yang menghasilkan kesan dinamik acah ‘mata’ bersama lampu nyala siang (DRL).
- Apabila signal diaktifkan, luaran DRL menyalakan ‘kedipan’ berwarna jingga.
- Gabungan lampu belakang kini menampilkan kanta cekung, meskipun masih mempertahankan motif lingkaran yang menjadi ciri khas MX-5 generasi ND, elemen dalamnya kini memiliki penampilan yang lebih menonjol atau tiga dimensi (3D).
- Keseluruhan pencahayaan dinaiktaraf kepada LED bagi meningkatkan keterlihatan dan memanjangkan jangka hayat.
- Bampar belakang dikemas kini dengan reflektor dan lampu kabus.
- Semua varian Mazda MX-5 kini menampilkan rekaan baharu kluster meter dengan warna muka dail yang lebih gelap dan bentuk penunjuk yang dikemas kini.
- MX-5 juga dilengkapi cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan fungsi auto malap.
- Sistem infotainmen 8.8 inci baharu dengan ciri pengecaman suara, port pengecasan USB-C dan kamera undur definisi tinggi.
Dari segi keselamatan, MX-5 kini didatangkan dengan ciri tambahan i-Activsense seperti Rear Cross Traffic Alert (RCTA).
Selain itu, Bantuan Stereng Berkuasa Elektrik (EPAS) dikemaskan kini dengan mengurangkan geseran pada rak stereng sebanyak 5 peratus bagi meningkatkan kelincahan dan ketepatan.
Varian transmisi manual Mazda MX-5 2.0L baharu kini menampilkan DSC -TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan Asymmetric LSD (Limited Slip Differential).
Mazda MX-5 (2025) diimport (CBU) dari Jepun yang menggunakan enjin 2.0 liter SKYACTIV-G berkuasa 181hp @ 7,000rpm dan tork 205Nm @ 4,000rpm bersama pilihan transmisi SKYACTIV-DRIVE 6-kelajuan manual atau automatik.
Barisan tawaran warna badan termasuk Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan Aero Grey.
Semua kenderaan Mazda baharu didatangkan dengan waranti pengeluar 5 tahun dan penyelenggaraan percuma 5 tahun mengikut piawaian pengilang termasuk buruh, alat ganti dan pelincir (kecuali Mazda BT50).
Waranti pengeluar dan penyelenggaraan percuma memiliki perlindungan selama lima tahun dan had perbatuan 100,000km, yang mana tiba dahulu.