Pandu tanpa lesen, JPJ sita Lamborghini Aventador milik warga China

42

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyita sebuah supercar Lamborghini Aventador yang dipandu lelaki warga China tanpa lesen dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu yang bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial, dilaporkan memandu kereta miliknya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanitanya selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam, berkata kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut adalah antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi bersepadu itu.

“Kami memeriksa sebanyak 1,627 kenderaan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 211 kenderaan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan. Kami turut menyita 24 motosikal, dua kenderaan barangan dan sebuah kereta.

“Kami juga telah mengeluarkan 463 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada cukai jalan, tiada insurans, dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya. 

Hamidi berkata operasi tersebut melibatkan 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi, antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Pada masa yang sama, JSPT memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 30 saman, manakala JIM memeriksa 29 warga asing dan menahan seorang lelaki serta dua wanita warga Indonesia,” katanya.

Sebelum ini, Hamidi berkata JPJ WPKL mengeluarkan sebanyak 4,559 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang berlangsung selama 14 hari bermula 24 Mac sehingga semalam (8 April).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here