Kawasaki Corleo – robot binatang berkaki empat yang boleh ditunggang

156

Bertempat di Osaka Expo 2025, Kawasaki memperlihatkan sebuah konsep mobiliti peribadi off-road yang boleh ditunggang, dikenali sebagai Corleo.

Menariknya, konsep berbentuk robot binatang ini dibangunkan oleh Kawasaki Heavy Industries dan bukannya Kawasaki Motors walaupun boleh dikatakan ada beberapa elemen dan DNA motosikal yang wujud pada model ini. 

Berdasarkan video rasmi, Corleo mempunyai keupayaan untuk bergerak seakan seekor kuda merentasi pelbagai bentuk muka bumi yang menggambarkan pengendalian dan kestabilan motosikal Kawasaki. 

Pergerakan kaki hadapan dan belakang robot ini adalah hampir sama dengan mekanisme pergerakan binatang berkaki empat, malah penunggang boleh mengekalkan postur yang menegak ketika sedang mendaki cerun.

Penunggang juga boleh mengawal pergerakan robot ini menerusi agihan berat yang akan dikesan oleh tempat pemijak kaki dan bar hendal. 

Struktur tapak pula diperbuat daripada bahan getak untuk menyerap segala ketidakrataan permukaan dan juga mempunyai ciri anti-gelincir supaya dapat digunakan atas pelbagai jenis bentuk muka bumi. 

Kawasaki Corleo dikuasakan oleh enjin hidrogen 150 cc di mana bekalan hidrogen diperoleh daripada tong kecil yang dimuatkan pada bahagian belakang.

Ia juga turut mempunyai panel instrumen yang dapat memaparkan informasi penting seperti kapasiti hidrogen, navigasi, kedudukan titik tengah graviti dan bermacam-macam lagi.

Anda boleh melihat dengan lebih dekat konsep Kawasaki Corleo ini di Osaka Expo 2025 yang akan berlangsung bermula 13 April hingga 13 Oktober ini. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here