
Laman Harian Metro melaporkan seorang warga emas ditahan polis selepas didapati memandu van sekolah melawan araus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), pada Rabu.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, lelaki berusia 70 tahun berkenaan dikatakan memandu dari arah Jalan Bagan Lalang menuju ke Jalan Raja Uda dalam kejadian jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata bagaimanapun ketika tiba di persimpangan Jalan Bagan Lalang memasuki BORR pemandu mendakwa berasa pening.
“Dia kemudian tanpa sedar meneruskan perjalanan secara melawan arus di BORR sehinggalah ditahan polis di Kilometer berhampiran Kampung Teluk, Sungai Dua.
“Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan akibat perbuatan pemandu van ini.
“Pemandu van kemudian ditangkap dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang memaparkan sebuah van sekolah memandu secara lawan arus di BORR.
Bagaimanapun, tindakan pemandu berkenaan berjaya dihalang selepas kereta peronda polis yang melalui kawasan itu bertindak mengawal lalu lintas sebelum menahan pemandu terbabit.
Difahamkan, semasa kejadian, tiada penumpang serta pelajar sekolah dalam van berkenaan.