Ducati Panigale V4 Lamborghini, 630 unit sahaja, kuasa cecah 218.5 hp!

31

Ini merupakan model ketiga yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Ducati dan Lamborghini, iaitu Panigale V4 Lamborghini.

Dihasilkan dalam unit terhad – hanya 630 unit sahaja – Panigale V4 Lamborghini merupakan jentera yang paling berkuasa mengalahkan Streetfighter V4 dan Diavel 1260 Lamborghini.

Ia mampu menjana kuasa setinggi 218.5 hp pada putaran enjin 13,500 rpm, dan tork setinggi 122 Nm pada putaran enjin 11,250 rpm.

Panigale V4 Lamborghini ini turut mendapat casis V4 S yang telah dikemas kini, diikuti dengan inovasi elektronik seperti Ducati Vehicle Observer (DVO) dan Race eCBS.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah rim aluminium tempa yang direka khas, sayap dan ekor belakang yang dikatakan lebih mirip kepada supercar Lamborghini, kemasan bahan gentian karbon dan aksen warna kuning serta pelana yang diinspirasikan daripada ruang kabin Revuelto. 

Terdapat juga tempat pemijak kaki boleh laras serta tuil klac dan brek yang diperbuat daripada aluminium billet.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork boleh laras Ohlins NPX-30 di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak TTX 36 di belakang – sama seperti yang wujud pada model V4 S baharu.

Akhir sekali, terdapat sistem ekzos titanium Akrapovic yang menjadikan berat keseluruhan jentera ini cuma 185 kg sahaja, atau lebih ringan hampir 2 kg berbanding Panigale V4 S.

Hanya 630 unit sahaja Panigale V4 Lamborghini yang akan diproduksikan, namun terdapat 63 unit tambahan yang tersedia daripada Ducati menerusi program Speciale Clienti khusus untuk 63 orang pemilik Lamborghini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here