
Volvo XC90 rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan menerusi penambahbaikan teknologi dan reka bentuk.
XC90 baharu ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu T8 plug in hibrid dan B5 hibrid ringan yang mana kedua-duanya menggunakan enjin 2.0 liter bersama transmisi Geartronic 8-kelajuan serta pacuan roda depan (FWD).
Motor elektrik XC90 Ultra T8 menghasilkan gabungan kuasa maksimum 462hp dan tork 709Nm manakala varian Ultra B5 berkuasa 263hp dan tork 390Nm.
Rangkaian kuasa T8 hibrid plug-in menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 77km (WLTP).
Untuk perjalanan jauh, enjin petrol akan mengambil alih dengan jarak tambahan sekitar 800km. Pemandu juga boleh menggabungkan kuasa elektrik dan petrol untuk pemanduan AWD berterusan atau pemanduan off road.
Varian B5 pula menggunakan sistem hibrid ringan dengan bateri lithium-ion 48 volt dan penjana permulaan bersepadu yang membantu mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api sehingga 15 peratus.
Sistem itu turut dinaik taraf untuk pembakaran lebih cekap dan penjimatan bahan api tambahan sebanyak 2 peratus.
Kemas kini yang ditawarkan pada SUV tersebut antaranya rekaan baharu kokpit dengan paparan tengah lebih besar, suspensi dan material dalaman yang ditambah baik, serta penebat bunyi yang dipertingkatkan.
KEMAS KINI KABIN & LUARAN
Kedua-dua varian XC90 ditawarkan dalam trim Ultra yang merangkumi skrin tengah 11.2-inci, paparan pemandu 12.3-inci, Pilot Assist generasi baharu dengan kawalan kruise adaptif, kamera 360 darjah, audio Bowers & Wilkins High Fidelity, pelarasan tempat duduk depan berkuasa elektrik dengan fungsi memori serta sokongan lumbar empat tahap, bumbung panoramik dengan bidai kuasa dan sistem pendingin hawa empat-zon.
Antara muka baharu Ultra T8 memudahkan peralihan antara kuasa elektrik, enjin pembakaran atau gabungan kedua-duanya menerusi fungsi “Drive Modes” yang kini dipaparkan di skrin utama.
Pemandu boleh mengakses mod seperti “Pure”, “Hybrid” dan “Performance” dengan hanya satu sentuhan.
Konsol tengah juga direka menjadi lebih praktikal dengan tambahan pemegang cawan dan ruang simpanan, manakala pengecas telefon tanpa wayar kini dipisahkan daripada ruang utama untuk kemudahan pengguna.
Sementara itu, bahagian depan kini tampil dengan grafik pengambilan udara baharu, lampu utama yang lebih langsing, bonet yang dibentuk semula dan bampar serta fender diperbaharui yang diinspirasikan oleh cita rasa Scandinavia.
Varian Ultra T8 ditawarkan tanpa kenaikan harga berbanding model tahun sebelumnya, iaitu RM434,888 Manakala varian Ultra B5 pula berharga RM418,888.
XC90 baharu ditawarkan dengan perkhidmatan digital lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan. Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.