
Nama Kimi Antonelli menjadi sebutan ramai disebabkan kehadirannya di pasukan F1 Mercedes-AMG bagi menggantikan tempat Lewis Hamilton yang berpindah ke Ferrari.
Dalam tempoh tiga perlumbaan yang berlangsung setakat ini, pelumba muda berusia 18 tahun itu berjaya memperoleh 30 mata terkumpul, sekaligus meletakkannya di tangga kelima dalam carta pemandu F1 – hanya satu tangga di belakang rakan sepasukannya George Russell.
Beliau juga dinobatkan sebagai pelumba termuda di dalam sejarah mendahului perlumbaan selain mencatatkan masa pusingan terpantas.
Sebagai menghargai pencapaian Antonelli dalam F1, pasukan Mercedes menghadiahkannya sebuah jentera AMG GT 63 S.
Sayang sekali, menurut laporan Autosport, Antonelli tidak dibenarkan untuk memandu jentera pantas tersebut di atas jalan raya Itali.
Ini kerana beliau baharu sahaja lulus ujian memandu pada Januari yang lepas, dan menurut undang-undang baharu, pelajar yang baru sahaja lulus ujian tidak dibenarkan memandu kereta yang memiliki kuasa lebih 100 hp per tan dalam tempoh tiga tahun berikutnya.
Untuk rekod, Mercedes-AMG GT 63 S mempunyai nisbah kuasa 577 hp untuk setiap tan!