Porsche Malaysia lancar generasi baharu 911 menerusi Carrera dan Carrera 4 GTS

23

Sempena ulang tahun ke-15 Porsche Malaysia, Sime Darby Auto Performance memperkenalkan generasi terkini 911, menerusi model Carrera dan Carrera 4 GTS.

Kedua-dua varian 911 kini boleh ditempah di Malaysia dengan harga bermula dari RM1,430,000 untuk 911 Carrera, manakala Carrera 4 GTS bermula RM1,890,000.

Bagi 911 Carrera 4 GTS, ia menggunakan sistem T-Hybrid yang ringan dan berkuasa dengan mempunyai pengecas turbo gas ekzos elektrik yang dibangunkan baru.

Motor elektrik terbina, diletakkan di antara pemampat dan roda turbin, mempercepatkan operasi pengecas turbo serta-merta. Ia menjana sehingga 15 PS kuasa elektrik. Tenaga itu diekstrak daripada aliran gas ekzos.

Pengecas turbo elektrik tanpa wastegate itu membolehkan penggunaan satu pengecas turbo sahaja berbanding dua sebelum ini, sekaligus memastikan penghantaran kuasa yang lebih dinamik dan responsif.

Rangkaian kuasa itu juga merangkumi motor segerak magnet kekal yang disepadukan ke dalam transmisi klac berkembar lapan kelajuan (PDK) yang lebih berkuasa.

911 Carrera 4 GTS menggunakan enjin boxer 3.6 liter baru. Lubang silinder diperbesarkan kepada 97 mm dan lejang yang dipanjangkan kepada 81 mm meningkatkan sesaran sebanyak 0.6 liter berbanding model terdahulu. 

Secara keseluruhan, outputnya mencecah 541 PS dan 610 Nm. Peningkatan kuasa berbanding model terdahulu ialah 61 PS.

Sistem suspensi 911 Carrera 4 GTS juga diperbaharui secara menyeluruh. Buat pertama kali, sistem stereng gandar belakang kini ditawarkan sebagai standard. Ia meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Sementara itu, 911 Carrera masih menggunakan enjin boxer 3.0 liter dengan pengecas turbo berkembar. Enjin itu juga diperbaharui secara menyeluruh.

Antara perubahan lain, ia kini menggunakan penyejuk antara dari model Turbo, yang kini terletak betul-betul di bawah gril penutup belakang di atas enjin.

Pengecas turbo dalam 911 Carrera baharu sebelum ini hanya digunakan pada model GTS. Dengan pengubahsuaian itu, Porsche berjaya meningkatkan kuasa kepada 394 PS dengan tork maksimum 450 Nm.

911 Carrera baharu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 4.1 saat (3.9 saat dengan pakej Sport Chrono) dan mencatatkan kelajuan maksimum 294 km/j.

Berbanding pendahulunya, ini merupakan peningkatan sebanyak 0.1 saat dan 1 km/j masing-masing.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here