
Sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 tidak akan dapat diakses pengguna jalan raya semasa tempoh penutupan jalan sementara, esok dan 17 April.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi hantaran Facebook memaklumkan balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta KLIA Terminal 2 akan ditutup kepada kenderaan.
“Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1. Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk perjalanan seterusnya.
“Para penumpang digalakkan merancang perjalanan mereka ke/dari lapangan terbang di luar waktu penutupan jalan bagi mengelakkan kelewatan,” menurut kenyataan.
Penutupan jalan sepenuhnya akan dilaksanakan pada 15 April bermula 6 petang hingga 7 malam dan pada 17 April dari 8.50 pagi hingga 9.50 pagi melibatkan Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang, Jalan P5.
Penumpang digalakkan menggunakan perkhidmatan KLIA Espres dari KL Sentral ke Terminal 1 dan 2, atau KLIA Transit dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya atau Salak Tinggi.
Bagi yang perlu memandu memandu, laluan alternatif yang disarankan adalah melalui Lebuhraya ELITE (E6) > Keluar di Tol Serenia > Kota Warisan (Bulatan Masjid) > Jalan KLIA 1 > Bulatan Charterfield > Terminal 1 KLIA (balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta).