
Laman berita Bernama melaporkan satu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melibatkan kenderaan perdagangan serta perkhidmatan awam pada Mei ini.
Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia bagi menangani peningkatan kes kemalangan melibatkan kenderaan berat terutama lori sejak kebelakangan ini.
Antara perkara yang sedang diperincikan ialah SOP dan tindakan lebih tegas terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Ketika ini JPJ sedang meneliti dan membuat perincian bersama pihak berkepentingan lain. Kita tekankan kepada kenderaan melebihi 7.5 tan.
“Antara perkara yang diperincikan adalah tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melebihi had laju serta larangan kenderaan perdagangan berada di lorong paling kanan seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sebelum ini,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata 8,862 kes kemalangan dicatatkan sepanjang enam hari Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 (HRA 2025) yang bermula 24 Mac hingga 8 April lepas.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 9,859 kes yang direkod pada Ops HRA 2024 yang berlangsung enam hari pada 8 hingga 13 April 2024.
“Begitu juga jumlah kematian menurun daripada 119 orang pada Ops HRA 2024 kepada 85 orang pada Ops HRA 2025.
“Penurunan ini antaranya disebabkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya hasil program advokasi oleh JPJ dan agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.