
Isu papan tanda bertulisan Mandarin yang tular di Kampung Sungai Nipah mendapat penyelesaian apabila pihak berkuasa setuju menggantikannya dengan papan tanda dwibahasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Pejabat Tanah, sebelum dimaklumkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Selepas penularan dakwaan bahawa pihak berkuasa tidak memantau atau mengambil tindakan terhadap papan tanda tersebut, satu lawatan tapak telah dibuat untuk mencari penyelesaian.
“Akhirnya, solusi dicapai iaitu semua papan tanda akan diganti dengan versi dwibahasa menggantikan papan tanda lama yang dipasang tanpa kebenaran,” katanya.
PEMASANGAN SEJAK 2018
Mengulas lanjut, Boon Lye memaklumkan papan tanda berkenaan telah dipasang sejak 2018, hasil inisiatif sukarelawan dan jawatankuasa kampung ketika itu, bagi memudahkan pelawat dari China memahami sejarah dan lokasi jalan di kawasan tersebut.
“Ketika itu memang ramai pelancong dari China datang ke sini, jadi mereka gunakan papan tanda tulisan Cina sebagai panduan tambahan.
“Inisiatif ini sudah berjalan lebih tujuh tahun. Dengan kebenaran Menteri Besar, hanya kampung ini dibenarkan menggunakan papan tanda dwibahasa buat masa ini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid menegaskan bahawa kebenaran ini tidak terpakai di kawasan lain.
“Hanya Kampung Sungai Nipah diberi pengecualian kerana inisiatif ini telah lama dilaksanakan. Mengikut Undang-Undang Kecil Iklan 1996 MPPD, papan tanda jalan dan iklan perlu menggunakan Bahasa Melayu,” katanya.
Menurut Hasnor, sebanyak 16 papan tanda akan digantikan dan kini dalam proses tempahan.
“Papan tanda baharu akan menggunakan Bahasa Melayu di bahagian atas dan tulisan Mandarin yang lebih kecil di bahagian bawah. Papan tanda lama yang sepenuhnya dalam tulisan Mandarin akan ditanggalkan,” jelasnya.
Terdahulu, satu video tular di aplikasi TikTok memaparkan papan tanda jalan menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya di kampung berkenaan.
Akaun Identiti Malaysia yang memuat naik video itu mempersoalkan ketiadaan permit serta mempersoalkan penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu yang dikatakan tidak mencerminkan identiti negara.