
Chery Corporate Malaysia selesai menyempurnakan penyerahan semua 50 kenderaan di bawah Program Bantuan Kenderaan Sementara kepada keluarga terjejas akibat insiden letupan gas di Putra Heights, Selangor, baru-baru ini.
Inisiatif itu, diumumkan pada 2 April (sehari selepas insiden), adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Chery dalam menyokong komuniti tempatan ketika berdepan krisis.
Sebelum ini, Chery sudah menyerahkan 25 kenderaan pada 4 April untuk kumpulan pertama, diikuti baki kenderaan kepada untuk penerima terakhir pada 9 April.
Program Bantuan Kenderaan Sementara itu untuk membantu keluarga yang terjejas dengan menyediakan pengangkutan sementara bagi membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan penting seperti perjalanan harian, janji temu perubatan dan menghantar anak- anak ke sekolah.
Pinjaman kenderaan selama sebulan itu turut merangkumi bantuan wang petrol sebanyak RM100 kepada setiap penerima.
Selain itu, Chery menyumbangkan RM50,000 kepada Masjid Putra Heights yang memberi perlindungan kepada lebih 80 keluarga terkesan.
Sumbangan itu bagi meringankan beban operasi masjid, khususnya dalam menangani kos utiliti dalam menyokong usahanya sebagai pusat pemindahan sementara.