
Seorang warga emas berusia 82 tahun dilaporkan mengalami patah tulang belakang dalam pergaduhan yang berpunca daripada perselisihan faham tempat parkir kenderaan di sebuah pasar raya di Masjid Tanah, Alor Gajah.
Susulan kejadian itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga warga emas berusia 65 tahun selepas disyaki terlibat dalam kejadian pada 4 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek telah ditahan kelmarin dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
“Mangsa dikatakan telah berbalah dengan suspek tentang parkir kereta sebelum dia ditolak dengan kuat menggunakan tangan sehingga menyebabkannya terjatuh terlentang ke atas jalan.
“Akibat kejadian itu mangsa mengalami patah tulang belakang,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.