Wakil jualan protes depan kilang Neta tuntut bayaran kenderaan tidak dihantar

9

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, Neta Auto (Hozon New Energy Automobile) berdepan krisis yang semakin meruncing apabila wakil rangkaian pengedarnya menuntut bayaran kenderaan yang tidak dihantar dan pampasan kerugian yang semakin meningkat.

Menurut laporan media sosial, lebih daripada 20 wakil Neta daripada lebih 300 pengedar sah berkumpul di pintu pagar kilang Tongxiang bagi menyuarakan kekecewaan. 

Kilang Tongxiang, Neta.

Protes itu mengukuhkan lagi berita tentang krisis kewangan syarikat tersebut. 

Dalam rakaman video yang beredar, wakil peniaga berkongsi masih meneruskan operasi walaupun Neta gagal menghantar kenderaan, melaksanakan pemberhentian besar-besaran, menghentikan operasi perniagaan dan menangani tuntutan hutang pembekal selama lebih setengah tahun.

Peniaga mendakwa masih meneruskan operasi seperti biasa, membayar gaji dan faedah pekerja, membayar cukai dan menghindari publisiti negatif sementara menanti Neta menunaikan janji.

“Kami percaya pengilang akan memenuhi komitmennya, tetapi sejak September lalu, syarikat tidak pernah secara langsung menangani kebimbangan kami walaupun sekali.

“Kami hanya mendengar khabar angin tentang pembiayaan yang akan datang, penyambungan semula pengeluaran dan persidangan peniaga. Sementara menunggu dan meneruskan pelaburan, kami hanya tenggelam dalam hutang,” kata salah seorang wakil jualan. 

Mereka mendakwa ada yang membayar pendahuluan ratusan juta Yuan untuk kenderaan yang tidak pernah dihantar. Sebahagian peniaga yang membuat pinjaman untuk membeli inventori kini menghadapi tindakan undang-undang daripada bank dan pelanggan.

Wakil peniaga mengemukakan tiga tuntutan khusus iaitu pampasan untuk kerugian operasi dari September 2024 hingga sekarang serta bayaran pendahuluan untuk kos operasi dari Mei hingga Julai 2025; pembayaran semula semua rebat dan subsidi tertunggak untuk kenderaan prabayar tetapi tidak dihantar sebelum 11 Mei; dan pemulihan segera sistem perkhidmatan selepas jualan untuk menyokong kira-kira 400,000 pelanggan sedia ada Neta.

“Kami tidak mahu Neta runtuh, kami hanya mahu akauntabiliti,” katanya meminta maklum balas langsung daripada Pengerusi Neta, Fang Yunzhou.

Syarikat itu mengalami masalah kewangan sejak lewat 2024 yang mana jualan domestik Neta telah menjunam secara mendadak.

Data menunjukkan syarikat itu hanya menjual 487 kenderaan pada Januari dan Februari yang lalu, tanpa mendedahkan jualan pada bulan Mac. Angka ini jauh lebih rendah daripada jenama EV China lain yang telah mengisytiharkan muflis atau keluar dari pasaran.

Jualan semasa menunjukkan permintaan minimum untuk barisan modelnya, dengan Neta X hanya menguasai 272 unit dan Neta L sebanyak 149 unit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here