
Bahan ringan gentian karbon digunakan secara meluas terutama di dalam industri automotif dan aeroangkasa, disebabkan sifatnya yang tahan lasak dan ringan.
Namun, tiada siapa yang menyangka ia bakal dikategorikan sebagai bahan yang mampu membahayakan kesihatan manusia.
Berdasarkan laporan terbaharu oleh Motor1, satu pindaan yang dibuat oleh Parlimen Eropah bertujuan untuk memasukkan bahan gentian karbon ke dalam senarai bahan berbahaya EU.
Antara bahan berbahaya yang tersenarai pada ketika ini termasuklah plumbum, kadmium, merkuri dan kromium.
EU percaya filamen gentian karbon daripada kenderaan yang dikitar semula boleh menjadi bawaan udara dan mampu memberikan kesan negatif sekiranya tersentuh dengan kulit manusia.
Sekiranya pindaan tersebut diluluskan, ia akan berkuatkuasa di Eropah pada tahun 2029, bermakna syarikat-syarikat yang terlibat perlu memikirkan cara yang bersesuaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan tersebut.