KPDN Kelantan tumpas taktik warga Thailand seludup petrol guna kereta tempatan

33

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan taktik licik dua lelaki warga Thailand yang menyeludup petrol menggunakan kenderaan tempatan sekitar Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan. 

Kedua-dua suspek berusia 30 hingga 50 tahun itu melakukan kegiatan berkenaan sejak lima bulan lalu dan ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika Ops Tiris yang dijalankan KPDN bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata suspek menyeludup petrol menggunakan kenderaan tempatan yang telah diubahsuai tangki minyaknya.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua tangki minyak kenderaan diubahsuai, salah satu kenderaan mampu menampung anggaran 125 liter petrol, manakala satu lagi dianggarkan boleh menampung 120 liter.

“Siasatan awal mendapati suspek mengakui kenderaan tersebut dibeli tetapi tidak ditukar nama pemilik asal bagi mengaburi pihak berkuasa dan memudahkan kegiatan penyelewengan petrol,” katanya.
 
Sebelum tangkapan dilakukan, pasukan Penguat Kuasa KPDN Kelantan telah membuat pemerhatian selama kira-kira 45 minit terhadap pergerakan kedua-dua suspek. Mereka dikesan membuat pengisian petrol dalam keadaan mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar Bukit Bunga.
 
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas kedua-dua buah kenderaan dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000 serta barangan kawalan bernilai RM502.25.
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana memiliki dan berurusan barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.
 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here