
Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan pembinaan lorong motosikal di lebuh raya baharu sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun infrastruktur berkenaan memerlukan pelaburan tambahan, namun ia langkah perlu untuk menangani kadar kemalangan motosikal yang tinggi di negara ini.
“Kita sedia maklum mengenai statistik daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menunjukkan banyak kematian di Malaysia disebabkan oleh kemalangan motosikal. Jadi, ini sesuatu yang kita benar-benar beri perhatian.
“Langkah ke hadapan adalah apabila membina lebuh raya, kita perlu mempertimbangkan untuk mempunyai lorong motosikal.
“Walaupun kosnya mungkin lebih tinggi, namun jika kita serius menangani isu ini, kita mesti merancang untuk infrastruktur yang lebih selamat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Kerjasama Teknologi Jalan Raya dan Pembinaan Korea-Malaysia, semalam.
Nanta berkata disebabkan kekangan dalam memperluas struktur jalan di lebuh raya sedia ada terutamanya yang bertingkat, kementerian telah bekerjasama dengan pemain industri seperti PLUS Malaysia Bhd untuk mewujudkan kawasan perlindungan yang ditetapkan untuk penunggang motosikal, khususnya untuk digunakan ketika cuaca buruk.
“Ramai penunggang cenderung berhenti di bawah jambatan atau di lorong kecemasan ketika hujan. Kita telah menyaksikan kes penunggang motosikal dilanggar oleh kenderaan yang tidak dapat melihat mereka dengan jelas ketika hujan,” katanya.
Menyentuh kebimbangan yang dibangkitkan pengguna lorong motosikal mengenai ketidaktepatan aplikasi navigasi, Nanta mengakui isu berkenaan dan meminta pakar teknologi mencari penyelesaian.
ARTIKEL LAIN
Pakar: Tambah lorong motosikal, mampu kurangkan kemalangan sehingga 40 peratus