
Di Malaysia, jentera adventure tourer ini dikenali dengan nama Moto Morini X-Cape 650, namun untuk model tahun 2025 ia bakal dikenali dengan nama baharu X-Cape 700.
Kenapa?
Walaupun masih kekal dengan enjin parallel-twin yang sama pada X-Cape 650, X-Cape 700 kini mendapat kuasa yang lebih tinggi disebabkan sesaran dipertingkatkan kepada 693 cc.
Enjin baharu itu mampu menjana kuasa setinggi 69 hp pada 8,500 rpm dan daya kilas 68 Nm pada 6,500 rpm, atau peningkatan sebanyak 10 hp dan 12 Nm berbanding X-Cape 650.
Selain itu, jentera ini turut menampilkan posisi tunggangan boleh laras, dan klac slipper untuk menjadikannya sama ampuh dengan jentera yang lebih terkenal seperti Tenere 700.
Antara ciri lain termasuklah ABS yang boleh dimatikan, soket pengecasan USB berkembar, pelindung tangan dan skrin paparan TFT tujuh inci berwana.
Ia juga turut mendapat sistem brek Brembo, fork hadapan Marzocchi 50 mm jenis terbalik dengan jarak pergerakan roda 175 mm, dan penyerap hentak tunggal KYB yang menawarkan jarak pergerakan roda 165 mm.
Di Eropah, Moto Morini X-Cape 700 bakal dijual pada harga bawah £7,500 (RM44 ribu). Untuk perbandingan, harga jualan Moto Morini X-Cape 650 di Malaysia bermula dari RM39,999.