
Pihak polis masih mengesan dua suspek disyaki dalang utama kes kecurian kabel Express Rail Link (ERL) KLIA Ekspres dan KLIA Transit di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil di Sepang, lapor Harian Metro.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, tiga individu yang ditahan minggu lalu dipercayai menerima arahan daripada dua suspek terbabit.
“Sekarang masih ada dua suspek yang bebas, lokasi mereka sudah dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan.
“Berdasarkan siasatan, dua suspek yang masih bebas itu dipercayai perancang utama atau ‘mastermind’ kejadian ini.
“Tiga suspek yang ditahan masih belum didakwa, mereka akan dituduh sebaik saja siasatan selesai dan keadaan tertentu dipenuhi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan yang menyebabkan gangguan perkhidmatan selama beberapa jam.
Katanya, polis percaya motif suspek mencuri kabel terbabit adalah untuk dijual bagi mendapatkan wang berikutan nilai kabel yang tinggi.
“Dua daripada suspek (yang ditahan) disahkan terbabit secara langsung dalam kejadian atas arahan suspek utama manakala seorang lagi hanya bertugas memandu kenderaan yang digunakan dalam kes ini.
“Motif utama kecurian adalah untuk penjualan, barang yang dicuri adalah kabel bernilai tinggi dianggarkan sepanjang kira-kira 100 meter,” katanya.