Subaru Trailseeker 2026, EV baharu yang bergaya!

46

Pemandu Subaru dibiasakan dengan enjin Boxer dan pacuan Symmetrical All-Wheel Drive sejak sekian lama.

Kini Subaru cuba untuk membiasakan dengan rangkaian kuasa elektrik. Selepas Solterra, Subaru hadir dengan kenderaan elektrik kedua (EV) iaitu Trailseeker.

Satu nama yang sedap dan diletakkan pada model yang bergaya. Jika Solterra merupakan kembar Toyota bZ4X, bagaimana pula dengan Trailseeker?

Beberapa penerbitan memaklumkan dan menjangkakan model ini berkongsi dengan Toyota C-HR+ baharu tetapi dari pemerhatian nampak seperti Solterra yang dipanjangkan.

Satu yang menarik, persamaan boleh dilihat pada papan pemuka dan konsol tengah ketiga-tiga buah model.

Subaru Trailseeker didatangkan standard dengan sistem Symmetrical All-Wheel Drive hasil gabungan dua motor elektrik berkuasa tinggi pada gandar hadapan dan belakang.

Rangkaian kuasa elektrik menghasilkan kira-kira 375 kuasa kuda (hp) serta mampu menarik beban sehingga 1,588 kilogram (kg).

Selain pacuan semua roda, keupayaan Trailseeker dibentuk oleh sistem X-MODE® Dual-Mode dengan mod Salji/Tanah, Salji Tebal/Lumpur.

Turut membantu Kawalan Cengkaman dan Bantuan Penurunan Curam.

Dikuasakan bateri litium-ion berkapasiti tinggi 74.7 kilowatt-jam (kWj), Trailseeker boleh dipandu lebih daripada 419 kilometer (km) untuk satu cas penuh.

Dengan adanya sistem prapenyejukan bateri terbina dalam, Trailseeker tersedia untuk pengecasan pantas dalam cuaca panas atau sejuk.

Port pengecasan NACS standard memberikan lebih banyak pilihan pengecasan ketika dalam perjalanan.

Dibangunkan oleh jurutera Subaru sendiri, Trailseeker meningkatkan pengalaman pemanduan dengan sistem suspensi dan pacuan semua roda unik.

Sistem ini ditala khas untuk kestabilan dan kawalan atas pelbagai permukaan selain jarak kelegaan bumi 8.3 inci.

Menggunakan penderia pecutan di bahagian hadapan dan belakang, Trailseeker menyesuaikan diri mengikut beban dinamik semasa pecutan, membrek atau membelok.

Sistem menghantar kuasa ke roda yang sesuai untuk kestabilan dan cengkaman.

Dari segi reka bentuk, Trailseeker tampil dengan rupa depan Subaru yang baru manakala lampu belakang mengingatkan kepada Legacy B4.

Rim mempunyai dua saiz iaitu 18 dan 20 inci. Berbanding Solterra, Trailseeker enam inci lebih panjang dan hampir seinci lebih tinggi.

Dengan ruang kargo lebih besar dan bumbung lebih tinggi berbanding Solterra,
Trailseeker menawarkan ruang luas untuk penumpang dan barangan.

Dalaman yang lapang dengan lantai rata serta ruang kaki yang luas, mewujudkan suasana cerah dan lapang. 

Skrin maklumat hibur bersaiz 14 inci paling besar ditawarkan oleh Subaru. Dua pengecas tanpa wayar 15W dibekalkan dan dua pengecas pantas USB-C untuk bahagian belakang.

Konsol tengah yang lebar berfungsi sebagai pusat penyimpanan untuk peranti dan barangan peribadi.

Semua varian Trailseeker dilengkapi rangkaian teknologi bantuan pemandu EyeSight®, termasuk:

  • Brek Pra-Pelanggaran (Pre-Collision Braking)
  • Amaran Trafik Lintasan Hadapan (Front Cross Traffic Alert)
  • Pemantauan Titik Buta (Blind Spot Monitors)
  • Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Alert)
  • Monitor Pandangan Panorama (Panoramic View Monitor)
  • Bantuan Berhenti Kecemasan (Emergency Stop Assist)
  • Bantuan Ketika Kesesakan Lalu Lintas (Traffic Jam Assist)
  • Bantuan Tukar Lorong (Lane Change Assist)
  • Kawalan Jelajah Adaptif Lanjutan (Advanced Adaptive Cruise Control), dan banyak lagi.

Harga dan spesifikasi penuh Trailseeker akan diumumkan berhampiran tarikh pelancaran pada awal tahun 2026.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here