
Ini merupakan satu cara yang agak unik dibuat oleh sebuah universiti tempatan untuk meraikan para pelajar baharunya.
Menurut laporan Berita Harian, Kumpulan Pendidikan UNITAR meraikan 13 pelajar bertuah di mana setiap orang menerima sebuah kereta Perodua Axia 1.0L X serba baharu.
Ia juga lengkap dengan pakej pendaftaran jalan raya (OTR) selama setahun!
Majlis anugerah tersebut merupakan kemuncak kempen khas yang dilancarkan sempena pengambilan pelajar baharu bagi semester Januari 2025.
Dalam majlis tersebut, 12 orang pemenang dipilih mewakili setiap kampus UNITAR di seluruh negara, manakala seorang lagi dipilih melalui program rujukan pelajar “Student-Get Student”.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan UNITAR, Datuk Puvan Balachandran, majlis anugerah ini adalah tanda penghargaan UNITAR kepada para pelajar yang memilih institusi tersebut sebagai destinasi pendidikan mereka.
“Di UNITAR, kami sentiasa berusaha untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna, menarik dan memberi inspirasi.
“Majlis Anugerah ini merupakan tanda penghargaan kami kepada para pelajar yang meletakkan kepercayaan mereka kepada UNITAR serta untuk meraikan langkah pertama mereka dalam dunia pendidikan tinggi,” katanya.
Menurut Balachandran lagi, inisiatif ini mencerminkan misi mereka untuk mengubah kehidupan dan memperkasakan para pelajar dengan sesuatu yang lebih daripada sekadar ilmu pengetahuan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Pendidikan UNITAR, Timothy Johnson, menjelaskan pihak UNITAR sentiasa mencari cara baharu untuk menghargai penglibatan pelajar dan menekankan nilai pendidikan.
“Kami sentiasa mencari pendekatan baharu untuk menghargai penglibatan pelajar sambil menegaskan nilai pendidikan.
“Dengan memperkenalkan insentif bermakna seperti Majlis Anugerah ini, kami berhasrat untuk terus membina komuniti pelajar yang dinamik, didorong oleh semangat untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.