
Honda CB1000 Hornet merupakan antara produk jentera empat silinder sebaris yang cukup menarik datangnya daripada pengeluar tersebut.
Anda sudah pasti memerlukan sistem ekzos yang istimewa untuk melampiaskan segala runut bunyi terpendam daripada enjin 999 cc berkuasa 147 hp itu.
Berita baik, SC-Project yang berpangkalan di Itali kini menawarkan produk ekzos terbaru untuk CB1000 Hornet.
Untuk info, SC-Project merupakan salah satu pengeluar ekzos motosikal terulung di dunia dan mempunyai pengalaman di dalam sukan perlumbaan berprestij seperti MotoGP dan WSBK.
Dihasilkan menerusi kerjasama dengan Honda Montesa Eropah, ekzos SC1-R GT ini lebih ringan 2.3 kg berbanding ekzos standard dan ia dikatakan mampu menjana kuasa ekstra 1.5 hp dan daya kilas 1.2 Nm.
Ekzos ini dibina menggunakan bahan gentian karbon, selain mempunyai pelindung haba karbon dan injap ekzos yang dihasilkan khusus untuk model SP.
Lebih menarik, ekzos ini juga dikatakan mampu memenuhi piawaian emisi Euro 5+ dan halal digunakan di atas jalan raya!
Sayang sekali buat masa ini, anda hanya boleh mendapatkan ekzos SC-Project ini di benua Eropah sahaja.