
Kereta api laju Indonesia Whoosh merupakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.
Untuk tahun ini bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, kereta api laju Indonesia Whoosh merekodkan lonjakan ketara dalam bilangan pelanggan warga asing.
Pada suku pertama 2025, seramai 87,077 pelancong asing menggunakan perkhidmatan tersebut dengan peningkatan 79.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 48,391 pelancong asing.
Naib Presiden Perhubungan Awam PT KAI (Kereta Api Indonesia), Anne Purba berkata peningkatan itu menunjukkan perkhidmatan Whoosh bukan hanya buat penduduk tempatan tetapi juga pengunjung antarabangsa.
“Kenaikan mendadak ini menunjukkan bahawa Whoosh bukan sahaja popular dalam kalangan pengembara domestik, tetapi juga menjadi pilihan utama pelancong asing yang melawat Indonesia,” katanya.
JANUARI REKOD 35,881 PENUMPANG
Menurut data KAI, seramai 35,881 penumpang asing direkodkan pada Januari dengan peningkatan sebanyak 167.9 peratus berbanding Januari 2024 yang menyaksikan hanya 13,387 penumpang.
Pertumbuhan positif berterusan pada Februari dengan rekod 35,914 penumpang asing, meningkat 70.8 peratus berbanding 21,026 penumpang pada Februari tahun lalu.
Pada Mac, angka itu mencecah 15,282 penumpang mewakili peningkatan 9.3 peratus daripada bulan yang sama 2024 dengan jumlah 13,978 penumpang.
Dari segi kewarganegaraan, pelancong Malaysia direkodkan sebagai kumpulan terbesar penumpang Whoosh antara Januari dan Mac, diikuti pelancong dari Singapura dan China.
Jumlah penumpang asing yang tinggi dari ketiga-tiga negara ini sejajar dengan trend positif ketibaan pelancong dari Asia Tenggara dan China ke Indonesia yang lebih meluas.
“Dengan masa perjalanan sekitar 40 minit dari Jakarta ke Bandung, kereta api laju Whoosh menawarkan kecekapan luar biasa untuk pelancong asing, terutamanya mereka yang mempunyai jadual padat yang ingin meneroka lebih banyak destinasi,” katanya.