Jualan menurun, kakitangan Tesla China bekerja syif 13 jam tanpa cuti

36

China merupakan pasaran kenderaan elektrik (EV) terbesar dan paling maju di dunia. Sebelum ini, Tesla dilihat sebagai peneraju inovasi dan kini sebagai pemain yang berhati-hati atau konservatif.

Menurut data dari Persatuan Kereta Penumpang China, jualan keseluruhan Tesla di China menurun 21.8 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 2024.

Manakala jualan terus kepada pelanggan (runcit) pula hampir sama rata berbanding 2024. 

Namun, berbeza dengan pesaing utamanya di China iaitu BYD. Pada tempoh sama, BYD merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 18.8 peratus.

Pekerja jualan Tesla kini merasakan tekanan yang semakin meningkat. Majoriti wakil jualan Tesla berkongsi kepada wartawan telah bekerja selama seminggu secara berterusan tanpa cuti.

Waktu bekerja bermula 9 pagi hingga 10 malam iaitu hampir 13 jam sehari.  

“Zaman kami tidak perlu bekerja keras untuk memperkenalkan produk dan tempahan akan datang ‘secara automatik’ sudah berakhir,” kata seorang pekerja jualan Tesla yang memutuskan untuk berhenti. 

Menurut kakitangan jualan Tesla di Beijing, standard prestasi semasa adalah menjual sebuah kereta sehari iaitu bersamaan dengan kira-kira 30 buah kenderaan selama sebulan.

Namun, situasi kini untuk mendapatkan jualan tiga hingga empat buah kenderaan seminggu cukup sukar walaupun melakukan aktiviti promosi secara aktif.

Persekitaran kerja dalam tekanan itu menyebabkan kadar pertukaran pekerja yang tinggi, tidak pernah berlaku sebelum ini. Di sebuah pusat jualan di Beijing, seluruh pasukan jualan diganti kira-kira setiap sebulan setengah.

Ini berbeza dengan sebelum ini yang hanya diganti setiap tiga bulan. Pekerja jualan baru pula menghadapi proses latihan yang sangat mencabar. Mereka perlu menguasai pengetahuan produk dalam masa tiga hari dan menjalani ujian harian.

Menjelang hari keempat, pekerja baru itu diharapkan dapat membuat jualan atau berdepan dengan kemungkinan diberhentikan kerja.

“Sistem ini pada dasarnya menapis melalui penilaian yang ketat, hanya mereka yang mampu membuat jualan dengan cepat yang akan kekal,” jelas seorang sumber dalaman.

PRODUK LAMA

Penganalisis industri berpendapat kesukaran Tesla di China adalah kerana barisan produk yang terhad dan telah lama.

Ia sukar bersaing dengan inovasi pesat dari pengeluar kereta China seperti BYD. Model Y facelift yang dilancarkan awal tahun ini memberi sedikit dorongan jualan, tetapi gagal mengembalikan Tesla ke kedudukan peneraju pasaran seperti dahulu.

Polisi promosi untuk Model Y yang diperbaharui, termasuk pembiayaan tanpa faedah selama tiga tahun, mencerminkan usaha syarikat untuk meningkatkan permintaan.

Kemalangan maut melibatkan kenderaan elektrik pada awal April juga telah menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan bakal pelanggan. Kakitangan jualan melaporkan bahawa “punat mekanikal pintu dan keselamatan bateri” telah menjadi kebimbangan utama pembeli.

STRATEGIK BARU

Tesla mungkin sedang menyiapkan tindak balas strategik. Menurut laporan industri, pasukan Tesla di China sedang membangunkan kenderaan baharu, pada dasarnya versi Model Y yang lebih murah.

Jika Model Y facelift tidak mencatat jualan yang positif, varian yang lebih mampu milik mungkin akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

Kepentingan pasaran China kepada Tesla terus meningkat. Pada suku pertama, jualan runcit Tesla di China mencecah 134,600 unit, mewakili hampir 40 peratus daripada jualan global.

Oleh kerana Tesla menghadapi cabaran di pasaran lain, termasuk penurunan jualan sebanyak 62.2 peratus di Jerman, memenangi hati pengguna China telah menjadi semakin penting untuk strategi global syarikat itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here