Utama Berita Automotif Penghantaran kumpulan pertama Mazda 6e berlepas ke Belgium

Penghantaran kumpulan pertama Mazda 6e berlepas ke Belgium

19

Penghantaran kumpulan pertama kereta elektrik (EV) Mazda 6e (Mazda EZ-6 di China) ke Eropah telahpun bermula. 

Sebanyak 600 unit 6e berlepas dari Pelabuhan Waigaoqiao di Shanghai menuju ke Belgium dan bakal tiba pada Mei depan.

Penghantaran itu menandakan permulaan rasmi kemasukan Mazda 6e ke pasaran Eropah dan akan mula diedar menjelang musim panas.

EV pengeluaran usaha sama Mazda China dengan Changan itu membantu mempercepatkan pelancaran antarabangsa kenderaan tenaga baharu (NEV).

Berdasarkan Mazda EZ-6 yang dijual di China, 6e disesuaikan untuk pelanggan Eropah namun masih mengekalkan fokus utama Mazda iaitu pemanduan dinamik dengan menggabungkan kepakaran Changan dalam elektrifikasi.

Kenderaan itu dibangunkan bersama pasukan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Nanjing Changan Mazda, ibu pejabat Mazda di Hiroshima dan R&D Mazda Europe, memastikan produk akhir memenuhi piawaian reka bentuk, keselamatan dan prestasi global.

Dikeluarkan di kemudahan Nanjing Changan Mazda, Mazda 6e ditawarkan dalam dua jenis kapasiti bateri iaitu 68.8 kilowatt-jam (kWj) dan 80 kWj.

Model 68.8 kWj boleh dipandu sehingga 483km dan pengecasan pantas DC 200kW hanya memerlukan 22 minit untuk menambah kuasa dari 10 sehingga 80 peratus.

Motor elektrik menghasilkan 258PS dan pecutan dari 0-100kmj mengambil masa 7.6 saat.

Pelanggan yang mahukan jarak lebih jauh atau sehingga 556 km ditawarkan bateri 80 kWj dengan motor elektrik 244PS. Pengecasan DC mengambil masa 45 minit.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here