Utama Berita Automotif Mercedes-Benz Vision V, gambaran van mewah baharu dari Jerman!

Mercedes-Benz Vision V, gambaran van mewah baharu dari Jerman!

9

Segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah semakin hangat kebelakangan ini.

Pengeluar dari China rancak memperkenalkan model-model baharu mereka ke pasaran.

Namun, kebanyakan MPV dari China masih tertumpu kepada pasaran domestik dan beberapa negara luar, termasuk Malaysia dan negara jiran.

Di sini, kita sudah biasa dengan MPV Jepun seperti Toyota Alphard dan Vellfire. Bagaimana pula dengan Eropah?

Mereka juga ada penawaran tersendiri seperti Mercedes-Benz V-Class. Tidak dilupakan Volvo EM90, walaupun model itu masih belum dipasarkan secara global.

Persaingan bertambah rancak apabila Mercedes-Benz memperkenalkan Vision V, model konsep serba mewah di Auto Shanghai 2025.

Vision V dibangunkan dari seni bina baharu Van Electric Architecture (VAN.EA) dan gambaran awal tentang produk akan datang.

Dari segi reka bentuk, Mercedes-Benz tidak perlu mencari-cari pengaruh luar dan ibarat sedan yang ditukar kepada van.

Jeriji radiator krom direka dengan tiga sirip kaca bercahaya. 

Hampir 200 elemen lampu kecil mengelilingi bingkai krom, manakala 190 lagi diletakkan di bawah bonet mengelilingi lampu hadapan berbentuk bintang Mercedes.

Ketibaan penumpang disambut dengan animasi cahaya dinamik yang berakhir dengan logo bintang bercahaya terang.

Lampu di bawah lampu utama turut berfungsi sebagai lampu isyarat.

Bahagian sisi tampil menarik dengan bingkai hujung cermin seperti bingkai pintu Mercedes-Benz yang lain.

Di bahagian belakang, 450 bilah bercahaya 3D membentuk lampu brek dan belakang dan bagaimana agaknya rupa model pengeluaran kelak?

Pada bahagian dalam, paparan panjang atau Superscreen bersambung dari bucu ke bucu.

Pintu automatik besar di sebelah kanan serta papan pemijak boleh laras bercahaya memudahkan akses ke ruang belakang yang mewah.

Dinding kaca pintar yang boleh bertukar jernih atau kabur secara bahagian atau sepenuhnya memisahkan ruang peribadi daripada ruang pemandu.

Kulit Nappa putih kristal dan sutera putih berkilauan digandingkan dengan elemen hiasan besar daripada kayu burr berliang terbuka.

Kabinet paparan pada sisi kabin dan dihiasi jalur aluminium berkilat, memberikan ruang untuk aksesori peribadi seperti beg tangan, cermin mata hitam dan telefon pintar.

Konsol tengah antara dua tempat duduk individu juga berfungsi sebagai kabinet paparan, dengan pad sentuh untuk mengawal sistem infotainmen dan meja lipat.

Apabila dibuka, meja ini menyerupai papan catur mewah dan dibuat sebagai penghormatan kepada seni pertukangan klasik.

Selain skrin papan pemuka, model konsep ini dilengkapi skrin bersaiz 65 inci yang akan naik secara automatik dari konsol kayu burr dan kulit Nappa apabila pintu ditutup.

Skrin ini juga memisahkan ruang belakang daripada bahagian depan. Dengan resolusi 4K, imej video dan permainan tampil jelasan dan butiran luar biasa.

Sistem bunyi sekeliling Dolby Atmos dengan 42 pembesar suara, termasuk penggalak dalam kerusi yang memberikan pengalaman muzik bermutu.

Tujuh projekor di bumbung dan lantai memperluas sudut visual, manakala tingkap sisi bertukar menjadi skrin tambahan, menghasilkan pengalaman digital 360 darjah.

Lampu suasana pula memainkan warna mengikut rentak muzik. 

Kaca pemisah dan tingkap boleh bertukar daripada lutsinar kepada kabur mengikut tahap yang diingini dalam masa beberapa milisaat untuk privasi.

Teknologi ini juga memberi perlindungan cahaya matahari atau sebagai paparan digital. Ia menggunakan kristal cecair yang disusun melalui voltan elektrik.

Vision V menawarkan tujuh mod pengalaman digital:

  • Hiburan – Menonton filem atau mendengar muzik dengan paparan skrin penuh atau sambungan ke soundbar digital.
  • Istirehat – Mod bersantai dengan visual landskap dan muzik menenangkan.
  • Permainan – Bertukar menjadi pusat permainan dengan kawalan khas untuk permainan perlumbaan.
  • Kerja – Fungsi pejabat mudah alih dengan skrin menjadi meja maya.
  • Membeli-belah – Membeli-belah secara interaktif seperti dalam butik sebenar.
  • Discovery – Navigasi sekitar secara realistik menggunakan grafik enjin permainan 3D.
  • Karaoke – Nikmati sesi karaoke di dalam kenderaan.

Setakat ini, Mercedes-Benz belum berkongsi sebarang maklumat mengenai rangkaian kuasa Vision V.

Namun, memandangkan ia bakal dipasarkan di China, model produksi nanti dijangka menawarkan jarak pemanduan yang jauh untuk kekal bersaing dalam pasaran.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here