Chery International perkenalkan sub brand baharu iaitu LEPAS

15

Chery International menambah satu lagi subjenama di bawahnya menerusi LEPAS, menyertai barisan sedia ada seperti Chery, Jeacoo, Omoda dan iCar.

Pengenalan jenama baharu ini adalah hasil maklum balas terhadap keperluan pasaran, apabila model-model sedia ada Chery dilihat tidak lagi mampu menampung kehendak pelanggan seisi keluarga.

Tambahan pula, pertumbuhan jualan Chery yang hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2023, berbanding lonjakan 61 peratus pada 2022, menunjukkan perlunya strategi baharu.

Walaupun berada di bawah satu payung korporat, setiap subjenama Chery membawa identiti tersendiri. LEPAS, misalnya, ditujukan khusus kepada golongan muda yang bergaya, moden dan mementingkan personaliti dalam pemilihan kenderaan mereka.

Sempena pelancaran rasmi jenama tersebut, Chery turut memperkenalkan model pertama LEPAS iaitu LEPAS L8.

Nama LEPAS adalah gabungan dua perkataan iaitu “Leap” dan “Passion”. Dari segi rekaan, setiap model LEPAS diinspirasikan oleh estetika otot harimau bintang, terutamanya pada sisi kenderaan.

Menariknya, ia diserlahkan melalui rekaan yang bersih dan minimalis, dengan garisan badan yang halus — diinspirasikan daripada bentuk barang tembikar tradisional.

Model L8 mempunyai dimensi berikut:

  • Panjang: 4,688 mm
  • Lebar: 1,860 mm
  • Tinggi: 1,695 mm
  • Jarak roda: 2,800 mm

Dari segi saiz, L8 lebih pendek berbanding Tiggo 8 Pro, sekali gus meletakkannya sebagai SUV lima tempat duduk bersaiz sederhana.

Ruang dalaman LEPAS L8 tampil dengan pendekatan moden dan lebih premium. Bahagian papan pemuka dan kemasan pintu menggunakan material lembut berkualiti tinggi dengan tekstur yang dikatakan menyamai sentuhan kulit bayi.

Sistem infotainmennya terdiri daripada skrin bersaiz 13.2 inci, manakala tempat duduknya boleh dikonfigurasikan dalam pelbagai posisi termasuk posisi mendatar untuk dijadikan tempat tidur ketika kenderaan berhenti.

LEPAS L8 ditawarkan dalam pelbagai konfigurasi rangkaian kuasa:

  • Petrol sepenuhnya
  • Hibrid
  • Plug-in Hybrid (PHEV) menggunakan sistem Chery Super Hybrid (CSH)
  • Versi elektrik penuh (BEV)

Untuk varian Chery Super Hybrid, L8 mampu dipandu sejauh 1,300km hanya dengan setangki bahan api. Manakala untuk versi BEV, ia menjanjikan jarak lebih 700km untuk satu cas penuh.

Sementara itu, dalam ucapannya semasa pelancaran global LEPAS di Wuhu, China, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LEPAS, Wei Zhong menjelaskan bahawa pihaknya menyasarkan untuk memperkenalkan dua model lagi iaitu L6 dan L4.

Bagi tahun 2025, LEPAS merancang untuk memasuki 27 pasaran utama dengan sokongan 400 pusat jualan. Sasaran itu akan diperluas kepada 89 pasaran dan 1,200 pusat jualan menjelang 2027.

Lebih menarik, rantau ASEAN turut disenaraikan sebagai satu pasaran utama untuk LEPAS, walaupun belum ada pengumuman rasmi berkaitan tarikh pelancaran tempatan.

GALERI GAMBAR

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here