
Seorang pemuda asal China berkongsi membeli sebuah Maybach S480 bernilai CNY 1.55 juta (RM900,165) untuk digunakan sebagai kenderaan e hailing dan memperoleh lebih daripada CNY5,000 (RM3,000) bagi perjalanan sehala.
Perjalanan hariannya didokumentasikan menerusi akaun “Old Yuan Drives a Maybach for Ride-Hailing,” dengan jumlah pengikut 120,000.
Yuan yang berusia 30 tahun itu berasal dari wilayah Henan, utara China dan memandu kereta e-hailing mewah sekitar Beijing sejak 2019.
Dia membeli Maybach berkenaan pada 1 November 2024 dan merekodkan perjalanan hariannya bagi pulangan modal melalui video.
Dalam satu video yang disiarkan pada 13 April, Yuan mendedahkan mula bekerja pada jam 6.45 pagi dan menerima pelanggan yang menempah sehari penuh lalu memperoleh CNY 4,000 (RM2,400).
“Jom! Memandu kereta mewah Maybach bukan sahaja tugas saya tetapi juga rezeki saya. Pada masa ini, model Maybach hanya boleh ditempah secara khusus untuk menaiki kereta di Beijing dan Shanghai.
“Tidak pasti bila ia akan tersedia di bandar lain, jadi sila tonton secara rasional,” nasihatnya dalam video itu.
HANYA BUAT E HAILING MASIH BOLEH SIMPAN RM6,000 SEBULAN
Menerusi temu bual dengan Haibao News pada 15 April, Yuan berkongsi membuat bayaran pendahuluan CNY680,000 (RM408,074) untuk Maybach berkenaan.
Manakala CNY500,000 (RM300,054) daripadanya diperoleh daripada tabungan yang dibuat sejak enam tahun lalu dalam industri e-hailing.
Bakinya pula diperoleh daripada pinjaman lima tahun dengan bayaran bulanan sebanyak CNY14,466 (RM8,681).
Yuan menyatakan dia mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dengan memenuhi keperluan pelanggan mewah dan pra-tempah.
Dia menyelesaikan purata 40 tempahan sebulan, dengan satu perjalanan kadangkala memperoleh lebih daripada CNY5,000.
Selepas menolak perbelanjaan peribadi, Yuan berkata dia masih boleh menyimpan hampir CNY10,000 (RM6,000) sebulan sambil menikmati gaya hidup yang agak santai.
“Kos minyak bulanan saya adalah kira-kira CNY3,000 (RM1,800). Saya membelanjakan CNY2,000-3,000 untuk makanan dan sewa ialah CNY4,500 (RM2,700).
“Saya masih mempunyai baki simpanan. Bahagian yang terbaik ialah saya dapat memandu Maybach,” katanya.