
Seorang anggota polis berpangkat koperal putus telinga kiri selepas digigit seorang lelaki warga Afrika yang bertindak agresif ketika cuba ditahan di sebuah klinik swasta di Metro Prima, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, anggota berkenaan bersama seorang rakan setugas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai seorang pesakit warga asing yang mengamuk di premis berkenaan.
Menurut sumber, suspek pada awalnya dilihat cuba memberi kerjasama ketika ditenangkan pihak polis.
“Namun sebaik sahaja hendak dimasukkan ke dalam kenderaan peronda (MPV), suspek secara tiba-tiba berpaling lalu menggigit telinga kiri anggota polis terbabit sehingga putus.
“Akibat kejadian itu, anggota polis yang berusia lingkungan 30-an itu mengalami pendarahan teruk dan segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, anggota terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan bagi menyambung semula bahagian telinga yang terputus.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun itu merupakan seorang pelajar kolej swasta di ibu negara dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zopal mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.