
BYD merupakan syarikat pengeluar kereta dan teknologi elektrifikasi yang kerap disebut sekarang ini.
BYD disebut-sebut sebagai pesaing Tesla namun syarikat ini bukan sahaja menumpukan pada kenderaan elektrik (EV) tetapi ekosistem kenderaan tenaga baharu (NEV).
Di pameran Auto Shanghai 2025, BYD membawa sejumlah model dan turut merangkumi sub jenama lain selain teknologi elektrifikasi.
Daripada kereta sports konsep yang revolusioner sehinggalah model wagon berasaskan rangkaian kuasa hibrid Super DM (Dual Mode) terbaharu.
Barisan kenderaan BYD kini tampil lebih meriah dan menarik untuk pasaran global berbanding sebelum ini.
Kehebatan rangkaian kuasa hibrid dan EV ditampilkan melalui model baharu
Jika sebelum ini dunia tertumpu pada teknologi bateri Blade LFP, BYD sekarang mahu menonjolkan teknologi hibrid plug-in Super DM.
SEALION 6 DM-i menggunakan seni bina hibrid DM BYD, manakala SEALION 6 EV diasaskan pada platform elektrik canggih e-Platform 3.0 Evo.
Kedua-duanya turut mengangkat rekaan terkini BYD berinspirasikan bahasa reka bentuk Ocean Aesthetics.
Dengan panjang keseluruhan 4,810 milimeter (mm) dan jarak roda 2,820 mm, kedua-dua model ini menawarkan dimensi praktikal dan mesra keluarga dalam segmen SUV sederhana.
Walaupun berkongsi prinsip reka bentuk asas, bahagian hadapan kedua-duanya direka sedikit berbeza untuk menonjolkan jenis rangkaian kuasa masing-masing.
BYD turut memperkenalkan SEAL 6 DM-i Wagon, model wagon pertama dalam sejarah jenama ini.
Direka dengan gaya tajam, praktikaliti harian dan kos operasi rendah, SEAL 6 DM-i Wagon dijangka mampu mengembalikan populariti segmen wagon dalam pasaran arus perdana.
Bahagian hadapan mewarisi reka bentuk SEAL 6 DM-i sedan.
Profil sisi menampilkan siluet wagon klasik dengan garis pinggang (beltline) tiga peringkat yang menjadikan badan kereta kelihatan lebih anggun.
Pemegang pintu separa tenggelam pula menyumbang kepada profil aerodinamik.
Wagon ini berukuran 4,850 mm panjang, 1,505 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,790 mm untuk ruang kabin yang luas.
Di bawah bonet, SEAL 6 DM-i Wagon dipacu oleh teknologi hibrid DM terkini BYD dengan enjin 1.5 liter plug-in hibrid berkecekapan tinggi.
Ia menjanjikan ekonomi bahan api terbaik serta jarak pemanduan gabungan yang jauh apabila dicas penuh dan tangki petrol dipenuhkan.
BYD yakin kombinasi kecekapan dan badan wagon ultra praktikal ini akan membantu memperluas lagi penggunaan mobiliti elektrik.
Dynasty-D – SUV konsep penuh gaya di puncak barisan BYD
Satu lagi penampilan global BYD ialah Dynasty-D, SUV konsep bersaiz penuh yang direka untuk berada sebaris dengan model HAN dan TANG di kelas atasan rangkaian BYD.
Berukuran 5.3 meter panjang, Dynasty-D tampil dengan reka bentuk garang dan baris lampu hadapan terpanjang dalam industri berukuran 2.4 meter.
Sisi kenderaan menampilkan garisan berinspirasikan sapuan berus kaligrafi, manakala rim bersaiz 23 inci menyerlahkan kehadirannya yang megah.
Di belakang pula, lampu belakang 3D berbentuk simpulan Cina lengkap dengan motif burung phoenix memperkuatkan identiti budaya.
Ruang kabin Dynasty-D mengetengahkan elemen seni kraf seperti sisipan buluh, daun emas yang disapukan tangan, serta teknik kertas tradisional.
Bahagian dalam menampilkan lapan skrin berhubung dan tema visual interaktif menjadikan kokpit digital ini sebagai gabungan budaya purba dan teknologi moden yang harmoni.
DENZA Z Concept Sports Car – Gabungan reka bentuk dan teknologi pemanduan pintar
Di luar ruang pameran BYD sendiri, jenama-jenama lain di bawah kumpulan turut memperkenalkan pelbagai model baharu dan teknologi inovatif.
Jenama premium DENZA, yang kini baru memasuki pasaran Eropah tampil dengan DENZA Z Concept Sports Car.
Nama Z diambil daripada DENZA yang mewakili Zenith yang melambangkan tahap tertinggi prestasi, teknologi dan keseronokan pemanduan.
Seperti biasa rekaan badan tampil dengan ciri-ciri aerodinamik.
Sayap belakang boleh laras berfungsi meningkatkan kecekapan aliran udara dan daya mendap ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Bahagian dalam pula menampilkan rangka keselamatan berketahanan tinggi dan papan pemuka gentian karbon bersepadu yang menyumbang kepada struktur badan.
Pemandu duduk di atas kerusi bucket gentian karbon.
Kereta sport konsep ini dibangunkan dari platform e3 eksklusif DENZA dengan teknologi suspensi dan casis terkini.
Z menggunakan Steer-by-Wire (SBW) pertama DENZA yang dibangunkan sendiri.
Sistem SBW ini yang pertama di dunia merangkumi stereng boleh lipat (meningkatkan keselamatan pelanggaran dan ruang pemandu), sistem kuasa, brek dan suspensi.
Satu lagi komponen teknologi ialah Sistem Kawalan Badan Magnetoreologi DiSus-M.
Ia menggunakan medan magnet untuk mengubah kelikatan bendalir, membolehkan pelarasan redaman masa nyata dilakukan dalam kurang daripada 10 milisaat.
Ciri ini membolehkan DENZA Z Concept Sports Car mengimbangi ketangkasan dan keselesaan, serta menyesuaikan diri dengan lancar terhadap keadaan jalan yang kompleks.
Sistem ini juga boleh digabungkan dengan imbasan ramalan permukaan jalan bagi memastikan kawalan selekoh yang tajam, brek yang stabil dan pemanduan yang lancar.
YANGWANG U8L – SUV mewah enam tempat duduk dengan dimensi terbesar dalam kelasnya
Jenama mewah BYD, YANGWANG, turut memperkenalkan U8L di Shanghai.
SUV bersaiz penuh ini menawarkan susun atur enam tempat duduk dan memiliki jarak roda serta panjang badan terpanjang dalam kelas utamanya.
Ia menampilkan ciri-ciri mewah dan ruang dalaman luas, menepati keperluan tiga baris tempat duduk sebenar untuk pengguna eksekutif dan perjalanan berkumpulan.
U8L dibina di atas platform e4 dan dilengkapi sistem DiSus-P Intelligent Body Control.
Dengan panjang keseluruhan 5,400mm dan jarak roda 3,250mm, ia menjanjikan ruang dan keselesaan luar biasa untuk semua penumpang.
U8L mengekalkan wajah depan ikonik U8, namun tampil dengan skema warna dwitona hitam-emas baharu dan bampar hadapan serta tiang D berkemasan gelap.
Bahagian tampil kemas dengan pemegang pintu boleh tarik. Bahagian belakang kini tidak lagi memuatkan tayar gantian.
Seperti U8, U8L mengekalkan keupayaan keselamatan ekstrem termasuk kebolehan terapung dalam kecemasan dan kestabilan ketika tayar meletup.
Satu lagi ciri wajib yang membuatkan U8 terkenal ialah membuat pusingan-U setempat.
FANGCHENGBAO tonjol teknologi dron dalam kabin
Akhir sekali, jenama khas off-road BYD, FANGCHENGBAO, mengambil peluang di Auto Shanghai 2025 untuk mempamerkan keseluruhan produk.
Jenama ini menonjolkan BAO 5, BAO 8 dan model baharu BAO 3.
FANGCHENGBAO turut memperkenalkan tiga model edisi khas serta satu demonstrasi langsung teknologi dron pintar dalam kabin hasil pembangunan BYD sendiri.