
Seorang lelaki tersedar apabila kereta Civic Type R yang baru sahaja dibeli sebenarnya adalah miliknya sendiri yang hilang dicuri dua bulan lepas, lapor BBC seperti yang dipetik Sinar Harian.
Ewan Valentine, 36, menyedari perkara itu selepas membeli sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dengan harga 20,000 pound sterling (RM116,474).
Menurut jurutera perisian itu, dia mendapati kereta ‘baharu’ yang dibeli itu sebenarnya kereta yang hilang dari halaman rumahnya pada Februari lalu.
Menceritakan kejadian tersebut, Ewan memberitahu BBC bahawa dia amat kecewa dengan kehilangan kereta kesayangannya dan bertekad untuk mendapatkan semula kereta model sama.
Namun begitu, beliau mengesyaki kereta tersebut adalah miliknya berdasarkan penemuan beberapa barang seperti pasak khemah, cebisan pokok krismas dan pembalut coklat.
Walaupun kereta tersebut mempunyai nombor pendaftaran baharu dan catatan perbatuan lebih rendah, beliau menemukan alamat rumah ibu bapa dalam sejarah sistem pemetaan terbina dalam kereta tersebut.
Dia kemudian membawa kenderaan itu ke garaj Honda di Solihull, sebelum membuat laporan polis.