
Setelah memulakan kembali produksi di kilang Mattighofen bulan lepas, KTM dilapor menutup kembali fasiliti tersebut.
Menurut laporan daripada outlet berita Jerman 1000PS, kilang tersebut akan ditutup sehingga akhir bulan Julai ini disebabkan masalah rantaian bekalan yang serius.
“Disebabkan masalah rantaian bekalan yang serius, adalah mustahil untuk meneruskan produksi seperti yang dijangka. Stok yang wujud adalah cukup untuk sekitar 4,200 buah motosikal sahaja, dan kini wujud masalah kekurangan komponen penting.
“Produksi di Mattighofen akan ditangguhkan sehingga 27 Julai ini,” jelas CEO Gottfried Neumeister dalam satu mesej video.
KTM tidak mendedahkan model mana yang terjejas akibat masalah terbaharu ini.
Jelas laporan itu lagi, ketika pengeluaran dihentikan pada tahun lepas, KTM tidak membuat sebarang tempahan alat ganti baharu.
Jadi, apabila pengeluaran dimulakan semula, pembekal alat ganti KTM sukar untuk mempercayai pengeluar tersebut terutama ketika prosiding insolvensi dan penstrukturan semula yang masih berjalan pada ketika ini.