Guna tonto ugut pegawai JPJ, pemandu dan tauke lori ditahan

33

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan ancaman tonto selain diugut pemilik lori selepas dua kenderaan perdagangan mereka ditahan atas kesalahan lebih muatan ketika operasi di Persiaran Perdana, Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam kejadian 12 April lalu, pemilik kenderaan perdagangan itu datang dengan menaiki Toyota Vellfire dengan beberapa tonto dan membuat provokasi terhadap anggota bertugas.

Gambar hiasan

Difahamkan, pemandu lori juga dalam masa sama dikatakan mematikan Sistem Kedudukan Global (GPS) serta memancitkan tayar salah sebuah lori tersebut hingga tidak boleh bergerak.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berikutan itu, anggota JPJ telah membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkenaan kes menghalang tugas penjawat awam serta ‘tyre man’ yang datang untuk membaiki tayar lori selain kenderaan Toyota Vellfire yang dilarikan suspek.

“Kita telah mendapat kerjasama baik daripada Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Putrajaya berkenaan kes ini.

“Suspek juga mengugut ‘tyre man’ dengan memberitahu dia mengetahui di mana kedai dan tempat kerjanya,” katanya pada Isnin.

Susulan itu, tiga lelaki iaitu dua pemandu lori serta pemilik berusia lingkungan 40-an ditahan polis untuk siasatan.

DIKEPUNG LAPAN TONTO

Dalam kes berlainan, Muhammad Kifli juga mendedahkan kejadian minggu lalu yang mana anggotanya dikepung lapan orang tonto upahan syarikat lori selepas menahan sebuah lori dipandu warga asing yang membawa muatan batu melebihi had di Rawang, Selangor.

“Dalam tempoh sama juga, JPJ menahan pemandu lori warga asing. Pemandu itu turun dari kenderaannya dan berhenti sebelum diambil oleh tonto lalu dibawa lari,” jelasnya.

Beliau menegaskan kesalahan tidak memberi kerjasama khususnya arahan timbang berat kenderaan, sabit kesalahan boleh diambil di bawah Subseksyen 234(c) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang akan didenda tidak lebih RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan lebih muatan pula, jika disabitkan boleh diambil tindakan di bawah Subseksyen 57(3) APAD 2010 iaitu tidak kurang RM1,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Kenderaan itu juga boleh diambil tindakan di bawah Subseksyen 80(4) APAD 2010 untuk disita dan dilucuthak oleh mahkamah,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here