
Tindakan enam penghantar makanan yang berjaya mencekup peragut aktif di sekitar Melaka menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkhairi Mukhtar kepada semua penerima pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka bagi Bulan April 2025.
Salah seorang penerima, Muhammad Haikal Mohd Yassin, 22, berkata dia bersama rakan-rakannya memberkas peragut yang menyamar sebagai penghantar makanan menggunakan ‘beg merah jambu’ kerana perbuatan individu berkenaan menyebabkan syarikat e-hailing dipandang negatif.
Menurutnya, dia berpuas hati dapat memberkas suspek sebelum diserahkan kepada polis biarpun terpaksa bergelut kerana suspek bertindak cuba melarikan diri.
“Sebab itu kami geram, penjenayah itu seolah-olah mahu menutup periuk nasi kami yang ikhlas dan jujur dalam pekerjaan.
“Bila dapat maklumat, saya ikut suspek dari Ayer Keroh hingga ke Malim, saya ekori rapat motosikalnya sebelum lelaki itu terbabas kerana mengelak sebuah kereta dan cuba lari, namun berjaya mengejarnya,” katanya yang baharu tujuh bulan bekerja sebagai penghantar makanan.
Tambahnya, dia tidak pernah bermimpi untuk menerima surat penghargaan daripada pihak polis kerana tindakan dilakukan sebagai rasa tanggungjawab dan bukannya untuk membanggakan diri.
Bagi Abdul Aziz Ibrahim, 55, yang telah lebih lima tahun dalam pekerjaan itu berkata, dia dihubungi polis pada Isnin lalu berhubung dakwaan penglibatan lelaki disyaki penunggang p-hailing dalam kegiatan jenayah samun dan ragut.
Katanya, dia dipanggil pegawai D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka dan hasil perbincangan bersama telah mewujudkan kumpulan WhatsApp khas dalam kalangan ahli-ahli yang dipercayai bagi mengesan penjenayah itu,
“Sebelum kejadian dia bergegas ke Bachang selepas dimaklumkan berlaku kes ragut di pasar raya KIP Mall.
“Saya memberitahu kepada rakan-rakan yang lain sebelum suspek berjaya dikesan berada di Malim dan kami bersepakat mahu menangkapnya” katanya.
Abdul Aziz menambah akan terus bekerjasama dengan badan beruniform itu untuk membantu mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.
Akhbar tempatan pada Khamis lalu melaporkan tindakan seorang lelaki dipercayai melakukan jenayah ragut dengan menyamar sebagai penghantar makanan berjaya dicekup dengan bantuan orang awam di Malim, pada petang Rabu.