
Ratusan plat besi di plaza Tol Dalam Kota Plumpang-Pluit, daerah Papanggo, Tanjung Priok, Jakarta Utara hilang dicuri.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pemuda dikenali sebagai SW, 43 dan memburu dua lagi suspek.
Dilaporkan sekitar 400 keping plat besi yang merupakan lapisan bawah konkrit jalan tol telah hilang dan kes dipercayai berlaku sejak 2016.
Wakil Gabenor Jakarta, Rano Karno berkata perlu melakukan baik pulih bagi menghindari risiko jalan tol runtuh akibat kehilangan sokongan sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.
Suspek SW ditangkap sekitar Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Rabu (23 April) lalu dan polis turut merampas dua tukul dan pahat yang digunakan.
PENGURUSAN TOL : KECURIAN DILAKUKAN BERPERINGKAT

Pengendali tol, PT Citra Marga Nusaphala Persada Tbk (CMNP) berkata ikatan plat keluli di pondok Tol Dalam Kota di Tol Cawang-Tanjung Priok-Ancol-Jambatan Tiga/Pluit telah hilang akibat kecurian sejak beberapa tahun lalu.
“Perlu ditegaskan, kejadian itu bukan disebabkan oleh kecuaian pengurus tol atau faktor alam, tetapi merupakan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
CMNP menegaskan kecurian komponen tersebut dilakukan secara berperingkat dan merebak ke pelbagai bahagian.
Buat masa ini, pihak CMNP terus melakukan pengawasan di kawasan terowong tol dan bekerjasama dengan Polis Tanjung Priok sehingga suspek berjaya ditahan.
CMNP juga telah menggantikan ikatan plat yang hilang dengan bahan alternatif iaitu Fiber Reinforced Polymer (FRP) bagi mengelakkan kerosakan dan menjaga keselamatan infrastruktur jalan tol.
FRP dipilih kerana memiliki daya tahan tinggi untuk menambah kekuatan dan jangka hayat yang panjang serta tidak menarik perhatian penjenayah.
ARTIKEL LAIN
Kerana rasuah, jalan tol di Indonesia ini tidak selamat dilalui kenderaan berat