
Susulan pelancaran Yaris GR (2025) Januari lalu, UMW Toyota Motor terkini menawarkan varian tambahan 8-kelajuan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (DAT) pelengkap kepada varian iMT 6-kelajuan.
Hot hatch itu menggunakan enjin 1.6-liter DOHC 3-silinder turbo (G16E-GTS) sama dengan versi manual menerusi output kuasa 300PS (+19PS) dan tork 400Nm (+30Nm).
Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 5.2 saat dengan kelajuan maksimum 230kmj. Penghantaran kuasa pada semua roda melalui sistem pacuan GR Four yang menawarkan mod pemanduan Gravel dan Track.
Di samping itu, mod pemanduan lain termasuklah Eco, Normal, Sports dan Custom yang menawarkan keseimbangan pemanduan harian mahupun trek.
GR Yaris versi automatik memiliki berat 1,325kg yang mana lebih berat 20kg berbanding varian manual. Namun, dimensi mahupun saiz tangki minyak (50 liter) adalah sama.
NAIK TARAF KOSMETIK
Perubahan kerja badan yang dilakukan pada GR Yaris termasuklah rekaan semula bampar depan dengan binaan ‘split’ yang menjadi ciri pertama Toyota.
Ia telah diterima pakai supaya boleh dipasang semula dengan cepat menggunakan binaan ganti dan pada kos lebih rendah. Ini juga memudahkan bahagian pihak ketiga melakukan kustom.
Bahagian depan yang dirujuk sebagai “Functional MATRIX Ver.2” menjadikan reka bentuk lebih agresif dan berfungsi.
Ia menyatukan radiator dan saluran brek manakala gril kini memiliki jaringan keluli yang lebih halus.
Lampu belakang dan lampu kabus disepadukan dan dipindahkan dari bahagian bampar bawah untuk mengurangkan risiko kerosakan.
Lampu brek ketiga dipindahkan dari spoiler belakang ke bawah pintu belakang untuk penglihatan lebih mudah. Manakala spoiler belakang dipadankan dengan warna badan.
KABIN ORIENTASI PEMANDU
Persamaan kedua-dua varian transmisi manual dan automatik ialah seni bina kabinnya. Kabin berorientasikan pemandu diketengahkan menerusi kerusi yang direndahkan 25mm dan stereng dilaraskan sewajarnya.
Kawalan yang sering digunakan dalam perlumbaan misalnya semburan intercooler, VSC-OFF dan lampu kecemasan dialihkan lebih dekat dengan pemandu. Di bahagian penumpang, terdapat ruang untuk meter tambahan atau monitor pemandu.
Turut tersedia paparan TFT GR 12.3 inci baharu dengan dua mod susun atur iaitu Normal dan Sport.
Kerusi hitam dengan kemasan upholsteri BRIN NAUB (jahitan benang merah) digunakan pada bahagian utama tempat duduk bucket.
GR Yaris facelift didatangkan dengan sistem bantuan pemandu terkini Toyota Safety Sense (TSS3) generasi ketiga melibatkan sistem Pre-Collision (PCS) termasuk Pre-collision Brake Assist (motosikal) dan Pre-collision Brake (kenderaan depan); Dynamic Radar Cruise Control (DRCC); Lane Tracing Assist (LTA) dan Vehicle Stability Control (VSC).
GR Yaris didatangkan dengan waranti 5-tahun tanpa had perbatuan dan dijual pada harga RM325,60 seunit yang mana lebih mahal RM10k berbanding manual.