Sempena Hari Merdeka ke-65, PDRM imbau model Proton yang dijadikan unit MPV polis

7312

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkongsi rangkaian kenderaan Proton yang pernah dijadikan kereta peronda polis.

Menerusi perkongsian di Facebook tersebut,  PDRM berkongsi model Proton dijadikan sebagai kenderaan peronda sejak 1986.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 yang bakal disambut 31 Ogos depan, kami bawakan kepada anda jenama kereta kebanggaan rakyat Malaysia, Proton yang telah digunakan oleh PDRM sejak dari tahun 1986 lagi.



“Ayuh kongsikan pandangan anda tentang kereta peronda polis jenama Proton, yang pastinya menjadi kebanggaan buat seluruh warga PDRM,” tulisnya. 
 

PROTON SAGA MAGMA

Menerusi perkongsian berkenaan boleh dilihat imej pertama yang dikongsi merupakan Proton Saga yang dilancarkan pada 1985 di awal penubuhan Proton.
 
Sedan itu kemudian dijadikan sebagai kenderaan peronda polis pada 1986. Model yang menggunakan platform Mitsubishi Lancer Fiore generasi kedua itu menggunakan enjin 1.3 liter 4G13 Orion II. Kemudian pada 1987, Proton memperkenalkan enjin 1.5 liter. 
 
PROTON WIRA
 
Proton Wira dijadikan sebagai kenderaan polis pada tahun 1999. Model yang pertama kali diperkenalkan pada 1993 itu berkongsi platform dengan Mitsubishi Lancer. Di pasaran Proton Wira didatangkan dengan enjin 1.3 liter, 1.5 liter, 1.6 liter dan 1.8 liter. Proton juga pernah memperkenalkan Wira dengan enjin 2.0 liter diesel.
 
PROTON SAGA ISWARA & WAJA
 
Proton Saga Iswara dan Waja digunakan dalam perkhidmatan polis peronda. Proton Iswara diperkenalkan pada 1992 hingga 2003 dengan tawaran enjin 1.3 liter dan 1.5 liter.
 
Sementara Waja begitu sinonim dengan pihak polis. Sedan berkenaan diperkenalkan awal 2000 yang mana dikuasakan enjin 1.6 liter, 1.8 liter dan 2.0 liter.
 

PROTON INSPIRA & PREVE

Pada 2015, PDRM menerima 1,200 buah Proton Inspira bagi dijadikan kereta peronda baharu secara berperingkat dan juga model Preve.  

Kenderaan itu bagi menggantikan kereta peronda yang berusia lapan tahun ke atas. Malah kereta peronda tersebut turut menerima imej yang lebih segar iaitu dengan grafik  baharu dengan tambahan warna hijau. 

Proton Preve pula bagi menggantikan Proton Waja 1.6 yang sudah tamat tempoh perkhidmatan. 

Proton Inspira diasaskan daripada model Lancer, ia juga lebih moden dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terkini. 

PROTON SATRIA GTI

Proton Satria GTI antara salah satu kenderaan yang pernah digunakan oleh PDRM sebagai kenderaan Peronda. Bahkan mungkin ada antara anda yang langsung tidak tahu tentang kehadiran model ini dalam unit ronda pihak berkuasa.

Model hothatch terunggul keluaran Proton tersebut begitu popular dalam kalangan anak muda. Satria GTI menggunakan enjin 1.8 liter 4G93P dengan kuasa 138hp dan tork 164Nm. Model talaan lotus ini memberikan pengendalian yang terbaik. Jangan anda tidak tahu Satria GTI ini juga pernah dijadikan kereta polis UK.

PROTON X70

Selain Kenya yang menjadikan Proton X70 sebagai kenderaan polis, SUV berkenaan menyertai barisan unit kenderaan PDRM pada tahun 2020 bersama Honda Civic.

Grafik yang digunakan lebih segar menerusi jalur biru dan merah atas bonet, jalur biru dan kuning dari pintu belakang, tulisan POLIS atas bonet dan pintu depan, dan lampu biru di atas.

Menggantikan Waja yang sudah lama, model tersebut  dilengkapi peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka serta perakam video digital mudah alih.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here